Menjejak usia ke 20 an, tidak lari dan tidak lain tidak
bukan. Soalan yang pasti kedengaran, “bila lagi giliran awak?” “awak dah
berpunya ke?” “bila lagi nak makan nasi minyak”. Huh. Persoalan tentang
perkahwinan. Pelbagai jenis bentuknya.
Pasti. Peluh besar.
Sejak akhir-akhir ini juga kita sering di dedahkan dengan
berita-berita mereka yang bertemu jodohnya awal di laman-laman sosial.
Khususnya facebook. Lagi bertambah-tambah ujiannya apabila tidak ketinggalan
apabila ada antara yang menjadi pemerhati di situ mempunyai keinginan untuk
mengikut jejak langkah, walaupun tidak berkemampuan lagi.
Perasaan cemburu dengan melihat kebahagian orang lain dalam
perkahwinan pastinya bukan sesuatu yang asing. Nak-nak lagi apabila suka untuk
dihebahkan perihal indahnya bercinta selepas perkahwinan. Bukanlah menjadi
kesalahan sebenarnya. Kerana itu mungkin hak privasi mereka yang suka untuk
berkongsi dengan masyarakat umum.
Nasihat buatku juga untukmu..
Bersabarlah dalam menunggu waktu bahagia kita. Kerana sampai
saatnya kita juga akan menempuhinya. Cuma bila dan di mana, sampai saatnya ini
tetap menjadi rahsia Dia Yang Maha Agung kerana Dia ingin kita ‘membina’ diri
kita selengkapnya sebelum menjejaki ‘alam’ yang indah itu.
Bersangka baiklah denganNya Yang Maha Pengasih. Dia belum
izinkan untuk kita berada dalam ikatan yang suci bersama pasangan yang kita
nikahi kerana Dia ingin kita bercinta denganNya secara eksklusif tanpa gangguan
daripada sesiapa. Dia ingin kita menghabiskan waktu-waktu malam kita yang sunyi
dengan hanya merintih dan berkasih padaNya yang satu tanpa gangguan dari
sesiapa.
Ingatkah kita tentang ayat ini :
Sesungguhnya harta
benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah
jualah pahala Yang besar. [64:15]
Dikhuatiri. Sekiranya kita belum lagi siap membina diri
kita, kita tidak mampu membina keluarga yang sakinah dan mawaddah. Nikmatilah
masa ‘single’ ini sepuasnya untuk kita memperbaiki iman. Bagaimana mahu menjadi
imam, jika solat pun kita sering lengahkan? Bagaimana mahu menjadi tangan yang
menghayun buaian bisa menggoncang dunia, andai pengurusan jadual kehidupan dan
diri sendiri pun masih tunggang terbalik?
Tidak cukup lagi. Ada lagi masalah emosi yang perlu dibaiki.
Kehidupan berumahtangga itu menemukan antara dua jiwa. Mekah dan Madinah.
Bagaimana kita mahu bertindak menjadi isteri dan suami yang soleh dan solehah
andai emosi diri dan pemikiran kita juga masih berada dalam tahap yang tidak
bisa di kawal?
Ketap bibir.
Nak lagi? Bagaimana pula tanggungjawab kita dengan ibu bapa
kita sendiri? Sudah tertunaikah semuanya? Bersangka baiklah dengan Allah Yang
Maha Alim. Dia inginkan kita yang masih ‘single’ ini untuk terus berbakti
kepada kedua ibu bapa kita tanpa perlu memikirkan perihal yang lain. Bukankah
apabila kita memudahkan urusan kedua ibu bapa kita, Allah juga akan mudahkan
urusan kita? Sampai saatnya, Allah pasti akan gantikannya dengan rezeki
perkahwinan kita.
Ada lagi? Ya. Masalah umat. Sebarkanlah dakwah. Infakkanlah
diri kita dalam jalan dakwah. Dengan kita mengajak orang lain amar makruf nahi
munkar, harap-harapnya akan menjadi satu saham yang dinilai oleh Allah di sana
nanti.
Allah berfirman : Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu
membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan)
dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
Di harapnya dengan pertolongan kita di jalan Allah, Allah
juga akan menolong kita dalam urusan jodoh kita. Percayalah, apabila kita
berusaha bersungguh dalam medan dakwah ini. Kita jatuh cinta. Cinta pada si dia
akan hadir kemudiannya.
Ini adalah hadiah buat hati yang sedang menunggu saat lafaz
sakinah.
Bersabarlah. Kerana Allah tidak pernah beri sesuatu yang
bukan pada tempatnya. Sampai saatnya nanti kita juga pasti mampu tersenyum
bersama memandang bulan dan bintang bersama si dia yang halal.
Hadiah Dariku. Untukmu Izakims.